Pusing..

February 19th, 2012

Isteri keluar dari wad kerana kedudukan anak dah berpusing ke bawah. Alhamdulillah..

Esok aku teruskan menghafal. Ya ALlah, kuatkan iman dan semangatku untuk menghafal kitabMu Ya Allah…

Share

Surah AlMumtahanah..

February 17th, 2012

Buku Travelog Haji

Aku baru beli buku Travelog Haji. Pengarangnya hebat. Aku baru lihat blognya, setiap hari update sedangkan masanya terhad. Tidaklah seperti aku yang bukan profesor pun. Nampaknya, ada semangat untuk update pada hari ini. Syukran..

Aku sudah sampai Surah AlMumtahanah, tetapi semakin hari teruji untuk menghafaznya. Semakin lama semakin mencabar. Sebelum bulan 3 sepatutnya aku menghabiskan juzuk 28. Niat untuk meneruskan menghafal sebuah alQuran masih ada.

Hari ini, isteriku pula masuk wad. Aku iringkan doa-doa selusuh dan doa membetulkan kedudukan bakal anak yang lahir. InsyaAllah, esok buat ecv (proses mengurut yang dilakukan oleh speacialist sambil memeriksa jantung baby). Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan kami.

Share

Surah Tahrim

January 13th, 2012

Ya, terus menghafaz. Jangan jemu. Teruskan semangat.

Sehingga bulan Mac, aku ingin menghafaz juzuk 28 sahaja. Orang hafiz kata “setelah anda menghafaz satu surah, surah lain akan hilang sedikit demi sedikit jika tidak di ULANG”.

Ya, ulangan itu wajib kalau sudah menghafaz. Caranya setiap solat sunat, kita cuba baca surah yang telah kita hafaz. Mungkin begini caranya ;

1. Solat Subuh – sebelumnya ada solat sunat. Rakaat pertama Surah alMulk, rakaat kedua Surah alQalam

2. Solat Zuhur – sebelumnya 2/4 rakaat selepasnya ada 2/4 raakat.

Pendek kata, satu rakat solat sunat SATU SURAH yang telah kita hafaz.

Jom dekatkan diri kepada Allah Ta’ala…

Share

10 kali baca dan 20 kali baca

December 23rd, 2011

Adakah kamu faham? Mari kita ambil isi perkara utama dari Syeikh adSadhan :

Untuk menghafal Quran dengan mudah dan ingatan yang kuat :

1-Baca baris pertama 10 kali kemudian cuba hafal dan dengarkan di telinga sendiri

2-Kemudian, baca baris kedua 10 kali, dan lakukan seperti langkah pertama

3-Jika sangkut satu kalimah ulang 5 kali ayat sebelum dan selepasnya, kemudian ulang lagi hafazan tersebut

4-Teruskan menghafaz hingga satu muka surat jika mampu

5-Untuk berpindah ke muka surat seterusnya, baca muka surat yang telah dihafaz 20 kali. Ia akan menjadi ingatan yang kuat kerana muka surat tersebut dimasukkan kedalam otak, sehingga kita kenal dan ingat tempat kalimah-kalimah tersebut.

Wallahua’lam

Share

Musafir bersama Quran kecilku…

December 23rd, 2011

Bermusafir bersama alQuran bukan perkara kecil. Kalau kita rujuk kitab-kitab fatwa pun banyak soal jawab hukum hakam membawa alQuran ketika bermusafir. Ianya berbeza ketika dalam negara orang Islam dan negara bukan orang Islam. Apapun, bukan nak sentuh mengenai perkara tersebut cuma hanya menyentuh secara umum agar kita yang merujuk dan mengambilnya sebagai ilmu.

Surah alInsan dan Surah alJin sudah ku ulangi semula. Cuma dalam masa kesibukan bercuti menjadi satu cabaran yang sangat besar. Apapun, aku buat tidak peduli dengan kesibukan dan aku terus ulang dan ulang di awal pagi. Alhamdulillah!

Tips menghafaz di waktu bercuti :

1. Baca hafazan dalam kereta sebagai wirid.

2. Jadikan solat kita medan untuk mengalunkan hafazan tersebut.

3. Jangan layan perasaan malas. Teruskan baca dan hafaz.

 

 

Share

Musafir…

December 23rd, 2011

Aku masih dalam mod bercuti hingga 29 haribulan Disember.

Seronok bercuti bersama keluarga. Dalam bercuti juga tidak lepas dari rasa gembira, marah, sedih dan sebagainya.

Gembira = مسرورا

Gembira kerana dapat bersama-sama keluarga dan membawa keluarga ke tempat-tempat menarik.

Marah = الغضب

Marah kerana mungkin tidak dapat apa yang dikehendaki oleh diri. Tetapi, kena redha apa-apa yang berlaku.

Sedih = الحزن

Sedih kerana belum dapat membawa keluarga yang besar untuk bercuti bersama. Keluargaku sibuk menguruskan perkahwinan abang sulungku. Keluarga mertuaku pula sibuk menguruskan perkahwinan anak mereka, iaitu adik iparku jua. Maklumlah, masa bercuti masa yang sesuai untuk mengatur dan melangsungkan perkahwinan.

Perjalanan dari KK ke Ranau berlangsung dengan selesa. Bermalam di Sabah Motel. Selesa. Hanya RM60. Sempat ke Poring dan Kampung Luanti. Yang paling menyeronokkan di Kampung Luanti menyaksikan ikan mengigit kaki anda. Ada yang kata bagus dan ada juga yang kata tak bagus. Yang penting, aku dah sampai ke sana untuk bercuti bersama ikan-ikan yang comel. Hehe

Sabah Motel, Ranau

Poring, Ranau

Dari Ranau ke Kundasang, singgah di Heritage Hotel. Hotel yang gah di atas puncak bukit. Bilik kami mengadap pokok. Tiada rezeki mengadap gunung Kinabalu. Apapun, keesokan paginya kami sempat mengambil gambar mengadap gunung Kinabalu. Tetapi, biliknya tak sesejuk yang disangkakan! Kami sempat ke Ladang Lembu, Kebun Strawberry yang tiada buah dan pasar di Kundasang.

Ladang Lembu di Kundasang 'ala-ala New Zealand'

Berehat di Heritage Hotel, Kundasang

Dari Kundasang turun ke Tuaran. Sempat singgah di Kinabalu Park. Rm3 sudah cukup untuk memuaskan diri membawa kereta hingga ke kaki bukit gunung Kinabalu.

Kemudian, tiba di Tuaran.

Tuaran pun sudah menjadi tanahair baru ku. Singgah di Tang Dynasty Lodge. Sangat selesa. Hanya RM69 untuk superior.

Sekian setakat ini, berjumpa lagi

Share

Surah Nuh

December 15th, 2011

Ya, aku dapat menghafaz kembali Surah Nuh dengan penuh kepayahan.

Banyak dosa kepada Allah. Apa yang perlu kita lakukan jika sukar menghafaz ?

Lakukan ini;

1. Istigfar sebanyak-banyaknya, kerana dosa sudah bertapak dan menghalang hafazan

2. Anggaplah ia ujian dan payah menghafaz alQuran tetapi tidak akan melemahkan semangat. Teruskan hafazan

3. Banyakkan mengulang. Mungkin 10 atau 20 kali. Ya, jika mampu supaya perasaan putus asa akan luput begitu sahaja.

28 ayat sahaja Surah Nuh, tetapi bagiku sukar pula menghabiskan. Itulah ujian si penghafaz alQuran.

Kalau sudah hafaz, elok kita dengar qori yang baik bacaan dan lagunya.  Antara Syeikh Mahir alMu’aiqili (kalau tak silap aku, inilah imam ketika di Masjidil Haram ketika aku mengerjakan haji pada 2007, Allah temukan semula suaranya kepadaku untuk memudahkan hafazan! Nikmatnya!):

 

Intipati dari Surah Nuh :

Di antara rezeki yang mewah bagi orang yang beristighfar kepada Allah ialah sumber air hujan yang lebat yang menumbuhkan tanam-tanaman dan yang mengalirkan air sungai, serta rezeki mendapat zuriat dan harta kekayaan.

Share

Hafalan Surah AlHaqqah

December 8th, 2011

Menghafaz alQuran memang menyeronokkan. Tetapi ia cukup mencabar bagi sesiapa yang baru memulakannya seperti aku. Aku terus sahaja menghafaz walaupun terlantar di dalam wad. Itu ujian untuk aku. Entah ujian bagi penghafaz yang sudah usia hafazannya 10 tahun? Mesti lebih mencabar!

Hari Pertama

Ya. 6 Disember 2011, aku bangun pagi dengan rasa sakit yang amat di perut. Mungkin gastrik. Setelah solat, aku tidur kembali. Kemudian, mencari sarapan di warung. Nasi lemak sambal kerang dan ayam goreng sudah cukup. Tetapi, tidak lama keluar semuanya dari mulut kerana mual. Pendek cerita, surat dari Klinik Ong mengatakan aku mungkin terkena inflamasi apendik kerana simpton-simptonnya adalah sama. Aku ingat Dr Ong kata dengan tersenyum :

“Kalau kena bedah pun, masih OK ma, sebab U masih 30 tahun”.. Wah.. seram bunyinya. Mana pernah dibedah apendik, tak tau rasanya.

Orang kata banyak makan cili api, itulah akibatnya. Ikut tabiat aku, ada 2 sebab aku suka makan cili api :

a) sebab senang nak buang mukus (hingus) kerana aku mengidap resdung

b) keluargaku campuran orang ‘utara’ yang memang minat pedas.

c) Sumber dari tok guru Indonesia aku kata cili api memecahkan kerak-kerak suara dan  memerdukan suara kita.

Tetapi, kalau baca entri dan maklumat lain, apendik berlaku kepada sesiapa yang tidak bernasib baik terutama ketidakseimbangan pemakanan. Aku sudah bayangkan tiada yang dapat aku hafaz kalau sudah terlantar di wad. Aku dianjurkan berpuasa pada hari ini walaupun sebenarnya sudah berniat puasa Asyura’ cuma tidak kesampaian dek kerana terlalu seksa menanggung sakit. Dari jam 12 tengahari, aku terus berpuasa hingga petang dibantu dengan air yang disalurkan melalui tiub. Ertinya tenaga tak hilang disebabkan khasiat air glukosa. Itu namanya berpuasa di wad. Doktor hanya sekali sekala datang memicit pinggang kananku. Memang perit dan ngilu.

Malam, tiada yang dapat aku lakukan. AlQuran kecilku! Ya, aku lupa membawanya kerana tidak terlintas nak bermalam di wad!

Hari Kedua

Kalau mengikut jadual 7/12/11 adalah tarikh selesai hafazan Surah alHaqqah. Aku hanya sms kepada isteri agar tidak lupa membawa alQuran kecilku. Alhamdulillah, isteri memahami akan jadual hafazanku dengan membawa permataku, alQuran. Aku mulakan hafazan dari petang. Alhamdulillah, aku baca satu muka surat penuh.

Untuk menghafaz alQuran, kena buang rasa JEMU kerana ia gangguan syaitan. Aku cuba hafaz melalui lagu-lagu beraneka jenis, disamping melajukan alunan bacaan. Kadang-kadang membaca dengan lambat agar tidak JEMU. Ya, teruskan! Hasilnya, 80% Surah alHaqqah sudah dihafaz. 20% adalah sedikit tetapi itupun musuh penghafaz kerana tidak boleh memandang rendah kepada bacaan yang belum dihafaz.

Hari Ketiga

Pagi ini aku sudah melengkapkan hafazan. Ada kemudahan menghafaz dan mengulang dengan baik. Mungkin kerana menghafaz alQuran tidak perlukan tempat yang luas, menarik, berhias dan lain-lain. Yang penting, tempatnya aman dan tiada gangguan serta kosentrasi yang tinggi. InsyaAllah, mudah kita menghafaznya. Aku sendiri yang cadang untuk discaj dari wad kerana ada perkara peribadi yang patut diselesaikan. Tetapi, temujanji susulan aku buat untuk pembedahan atau tindakan lanjutan.

Moral :

1. Sakit itu adalah kifarat dosa. 2. Apabila dosa dikikiskan, maka kesucian hati akan kembali. 3. Apabila hati bersih, hafazan fasih.

Share

Juzuk 29

December 4th, 2011

Syukur, masih dapat meneruskan hafazan mengikut perancangan..

Juzuk 29 akan diulang hafaz pada bulan Disember ini.

Hari ini Surah alQalam. Alhamdulilah, ada tips untuk dikongsi.

Sebelum menghafaz, seeloknya buat perkara berikut :

1-Baca doa

2- Niat sungguh-sungguh agar Allah berikan kemudahan menghafaz dan tidak lupa hafazan tersebut

3-Tengok waktu yang tenang. Disarankan selepas solat Subuh.

Dan menghafazlah dengan bersungguh-sungguh, moga dipermudahkan.

Doa nampak mudah sahaja. Tetapi memang berbeza apabila kita terus menghafaz tanpa berdoa, dan menghafaz dengan cara berdoa dengan bersungguh-sungguh. Itulah yang namanya keberkatan yang Allah berikan.

Selamat menghafaz alQuran!

Mari kita dengar ceramah Syeikh Hasan bagi sesiapa yang faham :

 

Moral video : Cara mudah menghafaz dan tidak lupa ialah TIDAK MELAKUKAN SEBARANG MAKSIAT seperti kata Imam Malik pada Imam Syafi’e

“Wahai Syafi’e, sesungguhnya aku lihat Allah memberikan nur pada hatimu, dan jangan musnahkannya dengan melakukan maksiat”.

Hebat hafazan Imam Syafi’e yang boleh menghafaz kitab alMuwatto’ dalam tempoh 9 hari sahaja!

Share

Tag baru?

November 25th, 2011

“Tag ata blog dah bertukar?”

“Iyer, sekarang ada azam baru nak menghafal alQuran..”

Itulah perubahan tersebar di dalam blog ini. Iaitu ingin menghafal alQuran. Jadi catatan blog ini juga ditumpukan seperti diari orang yang bercita-cita menghafal alQuran. Adakah sekadar berniat atau sudah memulakan hafazan? Ya, saya sudah memulakan hafazan bermula juzuk 30. Mudah-mudahan perkongsian di dalam blog ini memberikan ruang kepada diri untuk benar-benar tekad dengan azam yang terbaru ini.

Jadual hafazanku adalah berkala:

Tempoh Hafazan : 10 tahun (sebelum berumur 40 tahun)

Tahun Pertama = Juzuk 30,29

Tahun ke 2= Juzuk 28,27,26,25

Tahun ke 3 = Juzuk 24,23,22,21

Tahun ke 4 = Juzuk 20,19,18,17

Tahun ke 5 = Juzuk 16,15,14,13

Tahun ke 6 = Juzuk 12,11,10,9

Tahun ke 7 = Juzuk 8,7,6,5

Tahun ke 8 = Juzuk 4,3,2,1

Cara hafazan alQuran di Maghribi menggunakan papan "Luh"

Iya, ada 8 tahun dan ada baki 2 tahun mengikut tempoh asal. 2 tahun bagi pengulangan (takrir) dan tasmik kepada orang-orang yang akan dipilih menjadi pendengar bacaanku. Jika Allah izinkan, inilah diantara bekalku ke akhirat kelak. Mudah-mudahan Allah permudahkan buatku jalan menuju keredhaan Allah.

 

***

Tiba di Tiara Beach Hotel, Port Dickson memang mencabarku untuk buat pengulangan Juzuk 30. Kursus tetap kursus, ulang hafazan tetap dan mesti dilakukan. Itulah cabaran menghafal alQuran. Allah sentiasa menguji kita demi meningkatkan darjat kita. Aku yakin, disamping kesusahan itu Allah sediakan jalan kemudahan yang luas terbentang bagi yang sabar dengan ujian daripadaNya.

Bulan 12 untuk ulangan Juzuk 29. Surah yang pernah dihafaz tetapi perlu buat pengulangan secara kerap untuk menjadi memori jangka masa panjang! Mencabar!

p/s : mungkin lebih bersemangat entri blog ini apabila diari seorang bercita-cita menghafal alQuran diwujudkan…

Share